GEORGE TOWN – Seorang eksekutif wanita dilaporkan maut selepas dia ditemukan tidak sedarkan diri oleh pasangannya di bilik tidur sebuah hotel di Tanjung Tokong di sini, semalam.
Mangsa berusia 27 tahun itu disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP), kira-kira pukul 11.46 pagi.
Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan Lee Swee Sake berkata, pihaknya menerima laporan dari pihak hospital mengenai kematian mangsa warga tempatan yang dibawa masuk dalam keadaan tidak sedarkan diri, pada pukul 12.30 tengah hari, semalam.
Menurutnya, siasatan lanjut mendapati si mati yang berasal dari Langkawi, Kedah datang bercuti dan menginap di hotel berkenaan sejak 3 April lalu.
“Si mati dijumpai oleh pasangannya dalam keadaan lemah setelah mandi lalu tidak sedarkan diri semasa berehat di atas katil bilik hotel, kira-kira pukul 9.30 pagi, semalam.
“Ambulans dari Hospital Pulau Pinang telah dipanggil untuk memberikan bantuan kecemasan kepada si mati dan kemudian dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut.
“Bagaimanapun, si mati disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan di hospital terbabit, kira-kira dua jam kemudian,” katanya di sini, hari ini.
Beliau memberitahu lagi, hasil pemeriksaan ke atas badan si mati dan siasatan di tempat kejadian mendapati tiada sebarang unsur jenayah.
“Bedah siasat telah dijalankan di Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Pulau Pinang, hari ini dan keputusan bedah siasat adalah bergantung kepada siasatan lanjut, hasil analisa makmal nanti.
“Sehubungan dengan itu, kes tersebut diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan satu Laporan Mati Mengejut (LMM) telah dibuka untuk siasatan lanjut,” tambahnya. -KOSMO! ONLINE
HABIS//














