fbpx
MIMIFLY akan membawa nama Malaysia dalam Festival ROUND di Filipina pada 18 dan 19 April ini.

Wakil tunggal ke Festival Round 2026, Mimifly terus ‘mendunia’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

LANGKAH seni tidak pernah mengenal noktah buat penyanyi versatil, Mimifly.

Selepas mencuri perhatian menerusi persembahan penuh bertenaga pada malam penutupan Sukan SEA 2025 di Stadium Rajamangala, Bangkok, aura anak seni itu terus membara, malah kali ini melangkah lebih jauh ke pentas antarabangsa.

Dalam denyut nadi industri hiburan serantau, nama Mimifly kini melakar jejak tersendiri. Bukan semata-mata penyanyi, malah pendidik seni tari, penggerak kreatif dan figura ‘independent’, dia terus membuktikan bahawa usaha tanpa henti mampu membuka pintu lebih luas.

Selepas menerima pujian hebat di Bangkok, pemilik nama sebenarnya Shamimi Amalina Norhisham itu dipilih mewakili Malaysia ke Festival Muzik ASEAN-Korea 2026 (ROUND) yang bakal berlangsung di Filipina pada 18 dan 19 April ini.

“Jika ditanya tentang kehidupan impian, saya boleh katakan saya sedang melaluinya sekarang.

“Saya masih mengajar sebagai cikgu tari, menjadi jurulatih, menguruskan studio bersama Atilia dan dalam masa sama aktif membuat persembahan.

“Dalam tiga minggu lagi saya akan ke Filipina untuk mewakili Malaysia di Festival ROUND,” katanya kepada HibGlam.

SIBUK dengan persembahan di luar negara, Mimifly juga akan muncul dalam konsert For You Nourul yang akan berlangsung di Zepp KL pada 30 Mei nanti.

Tambah pelantun lagu Angkat itu, jadualnya kini semakin padat seiring perkembangan karier di peringkat serantau.

“Saya kini sibuk membuat persiapan bagi menonjolkan bakat bersama artis dari seluruh Asia Tenggara.

“Pasukan saya juga semakin besar. Kami bukan hanya membuat persembahan di Malaysia, malah sudah ke Bangkok, Vietnam dan bakal ke Filipina,” ujarnya ketika ditemui pada sidang media konsert For You Nourul di Smith & Wollensky, baru-baru ini.

Festival ROUND 2026 merupakan platform besar menghimpunkan pengkarya muzik dari 10 negara ASEAN bersama Korea, sekali gus membuka ruang perkongsian seni ke peringkat global.

Mengulas lanjut, Mimifly mengakui peluang tersebut hadir dengan cabaran tersendiri, apatah lagi dia bergerak sebagai artis bebas.

“Sebelum ini kumpulan Dolla dan Marsha Milan pernah mewakili Malaysia.

“Tahun ini saya seorang dipilih. Tekanannya kerana saya bukan di bawah mana-mana label, saya bergerak sendiri dan perlu menguruskan segala perkara.

“Namun saya tidak rasa tertekan. Saya mahu menikmati pengalaman ini dan memberikan yang terbaik,” luahnya yang bakal membuat persembahan selama 25 minit.

Dalam kesibukan mengatur langkah ke Filipina, penghibur berusia 39 tahun itu turut terpilih sebagai artis jemputan bagi konsert For You Nourul yang bakal berlangsung pada 30 Mei depan di Zepp Kuala Lumpur.

Ujarnya, peluang tersebut diterima dengan penuh rasa kasih terhadap penyanyi senior, Nourul.

“Apabila kak Nourul menghantar mesej kepada saya mengenai konsert ini, saya terus beri sokongan penuh.

“Saya membesar dengan lagu-lagunya dan memang meminati beliau.

“Apabila dia ajak saya sebagai artis jemputan, saya terus setuju selepas tarikh konsert diubah kepada 30 Mei,” tutupnya.

Terdahulu, konsert tersebut dijadual berlangsung pada 17 April 2026 sebelum ditunda ke tarikh baharu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN