PETALING JAYA – Perkongsian seorang individu mengenai punca penyakit buah pinggang kronik (CKD) pada usia muda menarik perhatian ramai di media sosial.
Menerusi video dimuat naik oleh @Fifiy di laman TikTok, individu itu berkongsi antara faktor yang boleh menyumbang kepada masalah buah pinggang adalah tabiat pemakanan tidak sihat serta pengambilan bahan tertentu secara berlebihan.
“Contoh-contoh orang yang boleh kena penyakit CKD ni dari segi pemakanan, supplement, minuman bergas, mi segera dan coffee three-in-one (kopi tiga dalam satu) ataupun ubat kurus dan ubat putih,” jelasnya.
Dalam pada itu, individu tersebut turut memberi amaran keras terhadap pengambilan produk tidak berdaftar terutama ubat pemutih dan ubat kurus.
“Tapi yang paling berisiko tinggi adalah ubat putih untuk putihkan badan dan juga ubat kurus,” ujarnya.
Perkongsian itu turut disertakan dengan pesanan tegas kepada orang ramai supaya tidak mengambil mudah soal kesihatan diri.
“Kalau anda semua rasa nak jumpa tuhan dengan cepat, silalah ambil benda-benda ni,” katanya.
Menjengah ke ruangan komen, seorang pengguna, @Hazwany Daniel berkongsi pengalaman pernah berdepan masalah buah pinggang sejak kecil dan kini lebih berhati-hati dalam pemakanan.
“Ya, benda berperisa memang tak baik untuk buah pinggang. Saya pernah kena masa umur enam tahun, kali terakhir masuk hospital umur sembilan tahun. Selepas itu, saya memang pantang makan mi segera, jajan, kerepek berperisa, air gas atau minuman berperisa, malah fast food (makanan segera) pun setahun sekali dua sahaja.
“Saya lebih takut ubat, jadi rela mencegah daripada merawat. Semoga kita semua dikurniakan kesihatan yang baik,” ujarnya.
Seorang lagi pengguna, @Diyana pula memuji keberanian individu tersebut berkongsi pengalaman sebenar sebagai pengajaran kepada masyarakat.
“Tak ramai pesakit yang mengaku akibat tabiat pemakanan sendiri. Terima kasih adik atas info. Saya memang jaga pemakanan anak-anak sejak kecil sebab takut penyakit macam ini, semoga cepat sembuh dan teruskan beri kesedaran kepada masyarakat,” katanya. – KOSMO! ONLINE
@fynakal Semoga kuat hingga tamat para CKD FIGHTER #ckd #shareawareness #4u #fyp #buahpingangtahpakhir ♬ original sound – FIFIY🐟














