fbpx
Thiruselvam dan Selvam (kemeja putih) ketika hadir ke Mahkamah Sesyen Shah Alam. Foto oleh M. FIRDAUS M. JOHARI / KOSMO!

Perunding, bekas pengerusi kuil didakwa kes invois palsu RM50,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SHAH ALAM – Seorang perunding mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menggunakan invois palsu berjumlah RM50,000 bagi tuntutan perkhidmatan perundingan kelulusan kerja-kerja sebuah kuil, lima tahun lalu.

Tertuduh, M. Thiruselvam, 65, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Mohd. Nasir Nordin.

Mengikut pertuduhan, bapa kepada empat anak itu didakwa dengan curang menggunakan invois palsu bernilai RM50,000 bagi perkhidmatan perundingan berkaitan kelulusan kerja-kerja sebuah kuil di Petaling Jaya.

Invois tersebut didakwa diserahkan kepada setiausaha kuil berusia 64 tahun pada 22 November 2021 di premis kuil berkenaan.

Perbuatan itu didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 11 Mei depan bagi sebutan semula kes.

Sementara itu, di Mahkamah Sesyen berasingan, bekas pengerusi kuil berkenaan, P. Selvam, 70, turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan bersubahat berhubung tuntutan sama yang didakwa dilakukan pada tarikh dan lokasi sama.

Tertuduh yang didakwa mengikut seksyen sama dibenarkan ikat jamin RM15,000 oleh Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud.

Mahkamah turut membenarkan permohonan memindahkan kes itu untuk dibicarakan di hadapan Hakim Datuk Mohd. Nasir pada tarikh sama.

Kedua-dua mahkamah turut menetapkan syarat tambahan supaya tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah, melapor diri pada minggu pertama setiap bulan serta tidak mengganggu saksi pendakwaan.

Pada prosiding itu, pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Muhammad Arif Asyraf Mohd. Khairi. Thiruselvam diwakili peguam N. Lalitha manakala Selvam diwakili peguam M. Segaran. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN