LONDON – Pemandu kenderaan di Britain berlumba-lumba mencari bahan api termurah ketika harga petrol dan diesel melambung sejak permulaan perang Iran, lapor akhbar Metro UK semalam.
Perbezaan harga antara stesen minyak mengejutkan pemandu yang masih cuba mendapatkan tawaran terbaik di tengah-tengah lonjakan kos.
Di sebuah stesen minyak di London, beberapa pemandu dilihat berhenti apabila melihat tanda harga petrol dan diesel yang sangat mahal.
Sebuah stesen petrol di Sloane Avenue, kawasan kejiranan Chelsea meletakkan harga £2.99 (RM15.92) seliter untuk bahan api itu semalam.
Seorang saksi memberitahu Metro UK bahawa pemandu Range Rover membayar lebih £240 (RM1,278) untuk kira-kira 81 liter untuk mengisi hampir tangki penuh kenderaan utiliti sukan (SUV) itu.
Seorang wanita yang mengisi tangki kereta Nissan Micra hanya mengisi 4 liter petrol selepas melihat harganya terlalu mahal.
“Kami melihat sekitar tiga hingga empat kereta dalam masa sejam kami berada di sana,” katanya. Ini adalah antara harga petrol paling mahal pernah saya lihat,” katanya.
Harga petrol melepasi tahap ‘tidak dialu-alukan’ £1.50 (RM7.99) seliter secara purata, kata pakar-pakar permotoran RAC semalam.
Harga purata diesel menghampiri £1.80 (RM9.58), berada pada £1.77 (RM9.42) menjelang hujung minggu lalu.
Industri bahan api memberi jaminan kepada pengguna bahawa bekalan di seluruh Britain mengalir seperti biasa dan tiada tanda-tanda kekurangan. – AGENSI














