KUALA LUMPUR – Kes saman fitnah antara Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil terhadap Wan Muhammad Azri Wan Deris atau dikenali sebagai Papagomo diselesaikan secara baik di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.
Perkara itu dimaklumkan peguam Asheeq Ali Sethi Alivi yang mewakili Fahmi ketika ditemui selepas prosiding kes itu di hadapan Hakim Datuk Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan.
Hari ini merupakan hari pertama perbicaraan kes saman itu namun kedua-dua pihak mengambil keputusan menyelesaikan kes secara baik.
“Tindakan yang telah difailkan oleh Datuk Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil terhadap defendan (Papagomo) telah diselesaikan secara baik pada hari ini.
“Setelah mempertimbangkan penjelasan lanjut dan kenyataan ucapan plaintif (Fahmi) di Masjid Rawang, Selangor pada 30 Julai 2023 bukanlah satu kempen ceramah politik atau kenyataan berunsur politik.
“Sebarang isu yang telah timbul adalah satu salah faham yang tidak sepatutnya berbangkit dari awal dan pihak-pihak bersetuju untuk tidak mengeluarkan apa-apa kenyataan selain apa yang telah dipersetujui dalam kenyataan ini. Oleh itu, plaintif menarik balik saman dan penyata tuntutan terhadap defendan tanpa kos,” kata Asheeq Ali.
Sementara itu dalam saman yang sama, Fahmi turut menyelesaikan kes saman secara baik terhadap seorang pengguna Facebook, Mohd. Fauzan Madzlan.
Bagaimanapun, kes saman sama terhadap penceramah bebas Ahmad Dusuki Abd Rani gagal mencapai penyelesaian dan perbicaraan akan diteruskan bermula esok.
Sebelum ini, Fahmi memfailkan saman terhadap kedua-dua defendan secara berasingan pada 5 September 2023 berhubung dakwaan kononnya Ahli Parlimen Lembah Pantai itu menyampaikan ceramah politik di sebuah masjid di Rawang, Selangor.
Berdasarkan pernyataan tuntutan, Fahmi mendakwa defendan-defendan telah menyiarkan kata-kata fitnah yang mendakwa beliau menyalahgunakan tempat beribadah iaitu masjid bagi tujuan kempen pilihan raya dan bertindak bertentangan dengan titah dan perintah Sultan Selangor.
Fahmi mendakwa kata-kata fitnah itu disiarkan di akaun Facebook milik Mohd. Fauzan serta akaun Facebook dan Instagram milik Ahmad Dusuki pada 31 Julai 2023, manakala di akaun TikTok dan Facebook Wan Muhammad Azri pada 1 Ogos tahun sama.
Beliau mendakwa kenyataan fitnah itu tidak berasas, dan pihak Majlis Agama Islam Selangor telah mengesahkan bahawa beliau sama sekali tidak memberikan ucapan berbaur politik seperti mana yang difitnah oleh defendan.
Oleh itu, plaintif menuntut ganti rugi am, teruk atau teladan dan perintah injunksi bagi menghalang kesemua defendan daripada mengulangi atau menyebabkan penerbitan semula kenyataan fitnah itu. – KOSMO! ONLINE














