PETALING JAYA – Aksi ‘mat rempit’ di hadapan balai pelepasan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra di Kota Bharu, Kelantan bukan sahaja mencetuskan kebimbangan, malah disifatkan sebagai memalukan dan menjejaskan imej negara.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, kejadian itu amat tidak wajar berlaku lebih-lebih lagi selepas Kerajaan Persekutuan membelanjakan hampir RM450 juta bagi menaik taraf lapangan terbang tersebut.
“Projek ini bertujuan meningkatkan konektiviti udara di Kelantan, merancakkan pembangunan sosioekonomi serta menarik lebih ramai pelancong ke negeri itu.
“Kelakuan golongan ini bukan sahaja membahayakan nyawa pengguna lapangan terbang, malah boleh dianggap sebagai satu bentuk sabotaj terhadap keselamatan dan ekonomi negeri,” katanya dalam satu kenyataan.
Susulan itu, Anthony memaklumkan beliau telah mengarahkan Pengarah Penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk melaksanakan operasi penguatkuasaan secara besar-besaran di kawasan terlibat.
“Tindakan tegas akan diambil. Mana-mana individu yang didapati melakukan aktiviti merempit di hadapan lapangan terbang akan disita terus motosikal mereka,” tegasnya.
Dalam masa sama, beliau turut meminta pihak Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) memperketatkan kawalan laluan masuk dan keluar ke bangunan terminal bagi membendung kejadian berulang.
Katanya, keselamatan pengguna dan imej negara harus menjadi keutamaan, lebih-lebih lagi di pintu masuk utama seperti lapangan terbang. – KOSMO! ONLINE














