MEMBINTANGI naskhah membabitkan pelakon dari luar negara bukan perkara asing buat Bront Palarae. Itu ‘markah’ yang membezakan nilai yang ada pada dirinya tetapi tidak bagi kebanyakan pelakon lain.
Namanya sahaja sudah cukup gah di pentas perfileman Indonesia dan Thailand. Tidak keterlaluan untuk menyifatkan Bront antara pelakon yang sukses menjual bakat di negara orang.
Terus berkarya, aktor tinggi lampai itu kembali dengan filem seram terbaharu, Kong Tao yang menggabungkan barisan pelakon dari beberapa buah negara termasuk Hong Kong dan Singapura.
Menurut Bront yang memegang watak Amin, hatinya tidak berbelah bahagi untuk terlibat dalam projek tersebut tambahan pula dia merupakan individu yang terbuka dengan penyatuan budaya dan negara dalam sesebuah karya seni.
“Saya terima naskhah ini sebab rasa naskhahnya menarik kerana gabungan budaya dari negara lain. Kita selalu didedahkan dengan ilmu hitam santau di negara sendiri tetapi di tempat lain juga ada dan itu dipaparkan dalam Kong Tao.
“Gabungan pelakon dari negara jiran juga antara faktor terkuat mengapa saya setuju, seronok sebab saya sendiri dapat ilmu dan pengalaman baru,” katanya kepada HibGlam.
Tidak terlibat dengan sebarang babak ritual ilmu hitam, pemilik nama penuh Nasrul Suhaimin Saifuddin berkenaan berkata, wataknya lebih ke arah penyiasatan.
“Kebanyakannya latar tempat yang saya terlibat adalah ‘urban’ dengan lakukan penyiasatan. Memang tiada pengalaman menyeramkan atau sebagainya.
Apa pun, saya fikir Kong Tao adalah filem yang menarik untuk ditonton dan cara escapisme dengan genre seram dan fantastikal.
“Kalau nak mencari filem ala-ala Yasmin Ahmad dalam naskhah ini memang tak ada tetapi kalau mahu elemen fantastikal dan ‘popcorn’, ini santapan yang agak menarik juga,” jelasnya.

Ditanya sama ada dirinya adalah peminat filem Hong Kong, dia mengakuinya kerana membesar dengan karya dari negara tersebut sejak kecil.
“Saya membesar dengan cerita hantu Cina yang lompat-lompat atau tampal kertas kuning pada dahi, Malaysia memang banyak tayang filem sebegitu dulu.
“Saya nanti-nantikan juga kalau ada tawaran cerita sebegitu, menarik juga.
“Tapi, memang seronok dapat bekerja dengan bangsa lain dari pelbagai negara dan kita memang perlukan stimulasi-stimulasi baharu dalam karya serta kerjaya seni,” katanya yang popular dengan filem seram Indonesia, Pengabdi Setan.
Bahasa
Umum tahu aktor berusia 47 tahun berkenaan mampu bertutur dalam bahasa Thailand, dia bagaimanapun memilih untuk tidak melakukannya kerana memegang watak sebagai pemandu pelancong rakyat Malaysia.
“Memang tak mahu cakap Thailand sebab saya sebagai orang Malaysia dan tiada keperluan.
“Cuma sepanjang berada di set penggambaran, memang bercakap dengan pelakon lain menggunakan bahasa Thailand untuk memudahkan proses perbincangan dan sebagainya,” katanya.
Dalam masa sama, dia mengakui kemampuan untuk bertutur dalam beberapa bahasa lain banyak memberi kelebihan bukan sahaja dalam dunia seni tetapi urusan lain.
“Bila cakap tentang kelebihan berbahasa terutama dalam negara yang berbilang bangsa, kebolehan tersebut memberi kelebihan.
“Bukan saja dalam bidang lakonan, maksudnya jadi polis atau menteri sekali pun, memang kelebihan itu akan membantu.
“Selain membantu berkomunikasi, kita juga dapat memahami bangsa lain dengan lebih mendalam. Jadi, memang perkara ini perlu dipraktikkan oleh ramai orang,” tutupnya.
Baru-baru ini, Kong Tao membuktikan kekuatan naskhah rentas negara apabila mencatat kutipan RM4 juta dalam tempoh 10 hari tayangan.
Menampilkan gabungan pelakon dari Malaysia, Hong Kong dan Thailand, filem arahan Peiji Goh dan Yong Choon Lin itu turut mengangkat kisah ilmu hitam Asia Tenggara yang jarang diketengahkan.
Selain Bront, Kong Tao dibarisi aktres Thailand, Kao Supassara Thanachat dan bintang filem Hong Kong, Philip Keung.
Kong Tao berkisarkan tentang satu kejadian misteri ilmu hitam membabitkan ramai pelajar yang mahu dirungkai oleh seorang wartawan penyiasatan di Thailand.
Penyiasatan tersebut membawanya ke Malaysia selain bertemu dengan empat YouTuber, namun satu demi satu kejadian mistik berlaku terhadap mereka sehingga meragut nyawa.
Dalam penyiasatannya, dia bertemu empat YouTuber iaitu Chenxin (Glenn Yong), Wei Kang, Potato dan Weien yang pernah ke Thailand untuk meneroka fenomena paranormal. – KOSMO ONLINE














