fbpx
Gambar hiasan

Kawalan diesel diperketat, ‘fleet card’ boleh digantung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan mengambil tindakan tegas termasuk menggantung dan membatalkan kelulusan penggunaan fleet card di bawah Skim Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) sekiranya berlaku penyalahgunaan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, keputusan itu dibuat dalam mesyuarat susulan Jawatankuasa Tindakan Penguatkuasaan Antipenyelewengan Barang Kawalan (JTPAB) hari ini bagi memperkukuh kawal selia pengedaran bahan api bersubsidi.

“Antara ketetapan utama termasuk pelantikan agensi peneraju mengikut sektor iaitu KPDN bagi sektor darat, Polis Diraja Malaysia (PDRM) di bawah KDN untuk kawasan sempadan, manakala Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) bagi sektor perairan.

“Kerajaan turut bersetuju memperketat pemantauan terhadap aktiviti ‘bunkering’ serta menubuhkan pasukan khas di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan,” katanya dalam sidang akhbar harian Krisis Tenaga Global hari ini.

Katanya, pasukan khas itu akan dipengerusikan bersama oleh Setiausaha Persekutuan dan Setiausaha Kerajaan Negeri dengan KPDN negeri bertindak sebagai sekretariat, melibatkan semua agensi berkaitan di peringkat negeri.

Selain itu, pelaksanaan SKDS akan diperluaskan melalui penggunaan kad khas bagi sektor pengangkutan barangan di Sabah, Sarawak dan Labuan.

“Beberapa syor strategik turut akan dibentangkan kepada Majlis Tindakan Ekonomi Negara dari semasa ke semasa bagi memastikan kestabilan bekalan negara terus terjamin.

“Kerajaan sentiasa prihatin terhadap kesan konflik Asia Barat yang berpotensi menjejaskan rantaian bekalan global dan harga tenaga, namun langkah kesiapsiagaan telah diperkukuh bagi memastikan bekalan dalam negara kekal terkawal,” katanya.-KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN