PETALING JAYA – Kerajaan melaksanakan Operasi Pembenihan Awan (OPA) bermula hari ini hingga Khamis ini bagi menangani cuaca panas ekstrem yang melanda beberapa negeri di Semenanjung.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, langkah itu diambil susulan peningkatan suhu yang direkodkan di beberapa kawasan termasuk Kota Setar, Kedah yang kini berada pada Tahap 2 atau Gelombang Haba.
Menurutnya, kawasan tersebut mencatatkan suhu maksimum harian melebihi 37 darjah Celsius hingga 40 darjah Celsius sekurang-kurangnya tiga hari berturut-turut.
“Selain itu, beberapa kawasan di Perlis, Kedah, Kelantan, Perak, Pahang dan Johor turut berada pada Tahap 1 iaitu berjaga-jaga dengan suhu antara 35 hingga 37 darjah Celsius,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, operasi pembenihan awan itu akan dilaksanakan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dengan kerjasama Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Menurutnya, operasi tersebut akan memberi tumpuan kepada empangan utama di Perak, Kedah, Perlis dan Johor bagi memastikan kelangsungan bekalan air domestik serta sektor pertanian.
“Objektif utama adalah meningkatkan paras air empangan strategik serta membantu memberikan kelembapan ekosistem bagi mengurangkan risiko kebakaran hutan dan tanah gambut,” ujarnya.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan kejayaan operasi itu bergantung kepada keadaan atmosfera yang sesuai termasuk kehadiran awan kumulus dan kelajuan angin yang rendah.
Tambahnya, pasukan teknikal MetMalaysia akan memantau keadaan cuaca secara berterusan bagi menentukan lokasi paling sesuai untuk pelaksanaan operasi.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan mengurangkan aktiviti luar terutama pada waktu tengah hari serta memastikan pengambilan air mencukupi.
“Seluruh rakyat juga diseru untuk menggunakan air secara berhemah dan mengelakkan sebarang aktiviti pembakaran terbuka bagi menjaga kualiti udara serta kelestarian alam sekitar,” jelasnya.
Katanya, maklumat terkini berkaitan cuaca boleh diperoleh melalui aplikasi myCuaca atau laman web rasmi MetMalaysia. – KOSMO! ONLINE














