KUALA TERENGGANU – Seorang pesara guru yang digertak ancaman keselamatan anak oleh sindiket penipuan atau ‘scammer’ terpaksa membuat pembiayaan peribadi sebelum kerugian RM165,900.
Wanita warga emas berusia 64 tahun itu membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu pada pukul 1.21 tengah hari, semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, pada mulanya, pesara guru tersebut telah dihubungi individu tidak dikenali pada 23 November tahun lalu.
Beliau berkata, individu tidak dikenali berkenaan telah memperkenalkan diri kononnya pendakwa raya dan pegawai polis.
“Mangsa digertak kononnya terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram.
“Dia diarahkan untuk memohon perbiayaan peribadi sebanyak RM150,000. Keselamatan anak-anaknya didakwa dalam bahaya sekiranya arahan tersebut tidak dipatuhi,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Azli berkata, wanita warga emas tersebut turut diarahkan menyerahkan amaun keseluruhan RM36,000 ke dalam akaun bank diberi suspek.
Beliau berkata, permohonan pinjaman peribadi dibuat mangsa kemudiannya diluluskan dengan penerimaan RM130,000 ke dalam akaun banknya sebelum RM129,900 daripada amaun tersebut dipindahkan ke tiga akaun bank tanpa pengetahuannya. – KOSMO! ONLINE














