PETALING JAYA – Bekas pengasuh kepada bayi perempuan yang dikenali sebagai Qaseh Aulia dihukum penjara lima tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas didapati bersalah atas pertuduhan cuai sehingga menyebabkan kematian kepada bayi itu tiga tahun lalu.
Hakim Dr. Syahlizah Warnoh menjatuhkan hukuman itu terhadap Mulyati Kalim, 54, yang merupakan warga Indonesia itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir pembelaan.
Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman itu bermula dari tarikh sabitan hari ini selain tertuduh perlu menjalani bon berkelakuan baik dalam tempoh tiga tahun dengan dua penjamin warganegara tempatan, berserta cagaran RM5,000.
Selain itu, mahkamah turut mengarahkan Mulyati menjalani khidmat masyarakat selama 120 jam dan perlu diselesaikan dalam tempoh enam bulan selepas tamat hukuman pemenjaraan.
“Setelah mahkamah mendengar keterangan saksi-saksi pembelaan dan saksi-saksi pendakwaan secara maksimum serta meneliti hujah daripada kedua-dua belah pihak, mahkamah mendapati pihak pembelaan telah gagal menimbulkan keraguan yang munasabah.
“Oleh yang demikian tertuduh didapati bersalah sebagaimana dalam pertuduhan,” kata hakim itu.
Pada masa sama, mahkamah turut menolak permohonan pihak pembelaan bagi penangguhan hukuman dan tertuduh akan menjalani hukuman di Penjara Kajang.
Mengikut pertuduhan, Mulyati didakwa sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap bayi perempuan bernama Qaseh Aulia Faizul yang berusia dua bulan 26 hari (usia sewaktu kejadian) telah bertindak secara cuai sehingga menyebabkan kematian kepada kematian kepada bayi itu.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah taska di Kota Damansara di sini pukul 9.40 pagi pada 10 Oktober 2023 yang didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah seksyen yang sama.
Justeru, hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Terdahulu peguam Badrul Munir Bukhari memohon mahkamah mengenakan hukuman ringan selain bukan melibatkan pemenjaraan kerana ia merupakan kesalahan pertama tertuduh.
“Tertuduh mempunyai empat anak yang mana tiga daripadanya anak kandung, manakala seorang lagi anak angkat. Sejak kejadian hari pertama pada 10 Oktober 2023, tertuduh telah memberikan kerjasama yang baik kepada pihak polis.
“Selepas kejadian tertuduh amat kesal dan banyak menghabiskan masa menangis mengenangkan insiden yang telah berlaku,” kata peguam itu yang turut memaklumkan suami tetuduh merupakan warga tempatan.
Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Loqman Hakim Ahmad Khaire memohon mahkamah mengenakan hukuman berat kerana kejadian yang menimpa mangsa disebabkan kecuaian tertuduh sendiri sehingga mangsa kehilangan nyawa.
“Ibu bapa mangsa dalam kes ini menunggu kelahiran Aulia selama lima tahun. Akibat kejadian ini telah memberi kesan pada ibu bapa mangsa yang telah kehilangan anaknya,” kata Ahmad Loqman.
Sebelum ini, ibu mangsa @asharosli dalam perkongsiannya di Instagram, memaklumkan kejadian berlaku pada hari kedua iaitu pada 10 September, puteri keduanya, Qaseh Aulia Faizul berusia dua bulan, dihantar ke sebuah taska di Seksyen 6, Kota Damansara.
Dia mendakwa, puterinya dikatakan tidak sedarkan diri dipercayai berpunca kesukaran bernafas kerana dibiarkan dalam keadaan meniarap tanpa pengawasan selama sejam.
“Dengan keadaan dibedung, posisi meniarap membuatkan sukar untuk bernafas. Tengok rakaman televisyen litar tertutup (CCTV), hampir 10 minit Aulia berjuang.
“Cuma mungkin terkilan dengan pengakhiran Aulia disebabkan sikap cuai,” tulisnya. – KOSMO! ONLINE














