SEGAMAT – Pemandu treler yang menyebabkan kematian tiga sekeluarga dalam kemalangan ngeri di Kilometer 212, Jalan Johor Bahru – Seremban di sini akan didakwa di Mahkamah Majistret Segamat esok.
Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Mohd Jumazanzahir Chek Ismail berkata, suspek berusia 29 tahun itu akan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
“Pemandu treler yang menyebabkan nahas tiga kenderaan di Segamat akan didakwa di Mahkamah Majistret Segamat esok mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
“Polis terima arahan pertuduhan ini daripada Pejabat Pendakwaan Negeri Johor,”katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Terdahulu, Jumaat lalu, Kosmo! melaporkan Majistret Amalina Johar membenarkan reman ke atas suspek yang positif dadah jenis Methamphetamine selama empat hari bermula 3 April hingga hari ini bagi membantu siasatan Seksyen 44(1)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Dalam kejadian pada pukul 4 petang Khamis lalu, pasangan suami isteri, K. Myakrishnan, 71, dan S. Sevendai, 65, serta abang kepada Sevendai, S. Palamiandy, 77, maut selepas van dinaiki lima sekeluarga dirempuh dua buah lori.
Ketika kejadian, van dinaiki lima sekeluarga dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Taman Golden Hill, Gemas Baru selepas berkunjung ke rumah salah seorang saudara mereka di Batu Anam di sini.
Dua lagi mangsa, P. Sugunya dan P. Hariharam mengalami kecederaan parah.-KOSMO! ONLINE














