KULAI – Seorang wanita bersama anak lelakinya maut selepas motosikal jenis Honda ditunggang dinaiki mereka terbabas sebelum bertembung kereta dalam kemalangan di Jalan Gunung Pulai di sini petang semalam.
Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 5.40 petang ketika mangsa, G. Inthu, 32, menunggang motosikal jenis Honda dan dibonceng anaknya, A. Pilvin, 8.
Jelasnya, ketika sampai di lokasi kejadian, motosikal dipercayai hilang kawalan dan terbabas sehingga memasuki laluan bertentangan lalu bertembung dengan sebuah kereta Proton Saga yang dipandu seorang wanita berumur 54 tahun.
“Akibat kejadian itu, dua beranak berkenaan mengalami kecederaan parah pada beberapa bahagian badan sebelum disahkan meninggal di lokasi kemalangan.
“Pemandu kereta hanya mengalami kecederaan ringan dan semua mangsa dirujuk ke Hospital Kulai untuk rawatan serta proses bedah siasat,”katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Seng Lee berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.-KOSMO! ONLINE













