KUALA SELANGOR – Lelaki warga emas berkerusi roda yang ditemukan lemas dipercayai terjatuh ketika memancing di Jeti Kampung Kuantan, di sini.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Azaharudin Tajuddin berkata, pihaknya menerima laporan kejadian menimpa mangsa berusia 63 tahun itu daripada seorang lelaki, kira-kira pukul 9.30 malam kelmarin.
Jelasnya, pengadu berusia 65 tahun itu memaklumkan dia dan seorang rakan meninggalkan mangsa di jeti berkenaan untuk membeli minuman, kira-kira pukul 6.20 petang.
“Mangsa yang menghidap penyakit buah pinggang meminta pengadu pergi membeli minuman dan mereka ke jeti itu untuk memancing.
“Apabila kembali semula ke jeti, pengadu mendapati mangsa tiada dipercayai telah terjatuh ke dalam sungai,” katanya malam ini.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan kehilangan mangsa, P. Ravi, 63, sejak kelmarin terungkai apabila mayatnya dijumpai bomba di sungai Jeti Batu 7 1/2 di sini, pukul 8.30 pagi tadi. – KOSMO! ONLINE














