PETALING JAYA – Seorang wanita didakwa mencuri tempahan biskut yang diletakkan di rak tempat penghantaran barangan, dalam kejadian di sebuah kondominium di Setia Alam.
Kejadian itu dirakam televisyen litar tertutup (CCTV) dan rakaman itu dikongsikan seorang wanita pada Thread Seri and Crumbs yang juga pembuat biskut tersebut berhubung kecurian tempahan milik pelanggannya.
Video CCTV itu memperlihatkan seorang wanita memandu kereta Honda CR-Z warna merah keluar daripada kenderaan tersebut dan dia pergi ke arah rak tempat penghantaran barangan di kondominium itu.
Wanita itu dilihat mengambil beberapa barangan dan membawa masuk ke dalam kereta, sebelum dia keluar semula ke arah rak itu serta mengambil barangan lain.
Nombor pendaftaran kereta dipandu wanita itu juga berjaya dirakam dengan jelas melalui CCTV tersebut.
“Tolong viral (tular), tempahan cookies (biskut) pelanggan saya telah diambil individu menaiki kereta merah. Kasihan pelanggan saya, tak sempat dapat tempahan, dah bayar RM200 lebih.
“Tolong kongsi, kalau kenal atau ada info, mohon bantu. Runner kami memandu dari tempat kami di Batu Caves ke Setia Alam untuk hantar cookies pelanggan ni. Senang-senang je perempuan ni ambil barang yang bukan hak dia.
“Saya dah ganti semula cookies untuk pelanggan ini sebab itu tanggungjawab saya sebagai penjual. Kalau tiada sebarang respons daripada individu dalam CCTV ni, saya tak teragak-agak untuk buat laporan polis dan serahkan kes ini kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut,” kata Seri and Crumbs.
Perkongsian itu mendapat pelbagai maklum balas selain ramai mengharapkan tindakan tegas dikenakan kepada wanita yang dipercayai mencuri barangan tersebut.
“Tak malunya, kereta mahal. Takkan lah tak mampu beli sendiri,” kata pengguna Thread Zahra Sabrine.
“Aku doakan dia cirit-birit setiap hari, sehari lima kali. Itu saja,” komen pengguna Thread Sufisarasayf182124.
“Macam itu je dia ambil,” kata Khairulazharsuhaimi.
“Kat pejabat aku pernah orang lalu-lalang curi makanan tengah hari kita orang tempah. Di ingat charity box (kotak sumbangan) kot depan pintu pejabat,” kata Rairyerai. – KOSMO! ONLINE
View on Threads














