fbpx
LOKASI dua pelajar IPG Kampus Perlis ditemukan lemas ketika berkayak berdekatan Pantai Merdeka, dekat Sungai Petani semalam.

Tiada makluman aktiviti berkayak IPG – APMM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ALOR SETAR – Maritim Malaysia (APMM) tidak menerima sebarang makluman awal berhubung penganjuran aktiviti berkayak pelajar Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Perlis dekat Pantai Merdeka, semalam.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata, pihaknya memandang serius kejadian lemas dua pelajar institusi itu yang dilaporkan berlaku ketika menyertai Program Pendidikan Luar Kampus.

Katanya, APMM tidak menerima makluman awal berhubung penganjuran aktiviti tersebut daripada mana-mana jabatan berkaitan mahupun pihak pengurusan program tersebut.

“Sebarang aktiviti berskala besar di laut atau kawasan perairan terbuka perlulah dimaklumkan dan mendapatkan kebenaran daripada agensi berkaitan.

“Ia bagi membolehkan penilaian risiko dilakukan serta langkah-langkah keselamatan yang sewajarnya diambil. Ini termasuk pemantauan keadaan cuaca, arus laut serta kesiapsiagaan aset keselamatan sekiranya berlaku kecemasan,” katanya di sini hari ini.

Kata beliau, dalam konteks kejadian itu, beberapa faktor keselamatan asas juga perlu diberi perhatian oleh pihak penganjur antaranya penyediaan jaket keselamatan yang mencukupi dan dipakai dengan betul oleh semua peserta.

“Perkara lain yang perlu diberi perhatian adalah kehadiran jurulatih atau pengendali yang bertauliah dan berpengalaman, penilaian keadaan cuaca dan laut sebelum aktiviti dijalankan serta penyediaan pelan tindak balas kecemasan yang jelas, ” ujarnya.

Beliau turut menasihatkan semua pihak dan penganjur program luar agar tidak memandang ringan aspek keselamatan ketika merancang aktiviti di laut.

“Kerjasama awal dengan agensi keselamatan bukan sahaja satu keperluan, malah mampu mengelakkan kejadian tidak diingini serta melindungi nyawa peserta,” jelasnya.

Terdahulu Kosmo! melaporkan, aktiviti berkayak sekumpulan pelajar IPG bertukar tragedi apabila dua daripada mereka ditemukan lemas di Pantai Merdeka, dekat sini malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5 petang semalam itu, dua pelajar terbabit dikatakan hilang selepas dipukul ombak.

Mereka dikatakan menyertai aktiviti itu bersama 33 lagi rakan lain. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN