fbpx
Gambar hiasan.

Tangisan iringi pengecaman dua pelajar IPG lemas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ALOR SETAR – Suasana pilu menyelubungi Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini hari ini apabila keluarga dua pelajar Institut Pendidikan Guru (IPG) yang lemas di Pantai Merdeka semalam menangis ketika pengecaman dibuat.

Keluarga mendiang Christopher Ling Jia Siang, 21, tiba di HSB dari Kuching, Sarawak kira-kira pukul 2 petang, manakala keluarga mendiang Joey Ling Lin Siang, 20, tiba kira-kira pukul 5 petang dari Sibu, Sarawak.

Beberapa ahli keluarga tidak dapat menahan kesedihan sehingga terpaksa ditenangkan oleh ahli keluarga lain.

Proses bedah siasat dijalankan sebaik selesai pengecaman dan urusan berkaitan oleh keluarga.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh turut hadir di Jabatan Forensik bagi mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa.

Beliau berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) akan membantu segala urusan termasuk penghantaran jasad kedua-dua mendiang pulang ke Sarawak sebaik bedah siasat selesai.

“Kita akan memberikan bantuan sepenuhnya kepada keluarga kedua-dua mendiang. Selain itu, sesi kaunseling turut disediakan kepada pelajar yang terkesan akibat insiden ini,” katanya ketika ditemui di pekarangan Jabatan Forensik HSB di sini hari ini.

Katanya, KPM berdukacita atas kehilangan dua bakal guru cemerlang yang baru memasuki tahun kedua pengajian.

Sementara itu, katanya, KPM akan memberi kerjasama penuh kepada polis dalam siasatan kes tersebut selain melaksanakan siasatan dalaman.

Warga IPG Kampus Perlis termasuk Pengarahnya, Leftenan Kolonel Bersekutu (PA) Amran Mahadi turut berada di lokasi bagi membantu menguruskan urusan kedua-dua mendiang dan keluarga.

Kosmo! malam tadi melaporkan aktiviti berkayak sekumpulan pelajar IPG bertukar tragedi apabila dua daripada mereka ditemukan lemas di Pantai Merdeka, Sungai Petani.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5 petang semalam, kedua-dua pelajar itu dilaporkan hilang selepas dipukul ombak sebelum mayat ditemukan tersangkut pada pukat udang. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN