PETALING JAYA – Penyanyi Bella Astillah menyifatkan tunangnya, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq bukan sekadar bermulut manis tetapi membuktikannya melalui tindakan nyata.
Menurut pemilik nama lengkap Dayang Ara Nabellah Awang Astillah, 32, itu, dia sangat menghargai keberanian Saddiq yang sering mempertahankannya tanpa diminta.
“Sebenarnya orang cakap ini mulut manis, mengenali YB dia cakap dan dia lakukan. Sepertimana dia berikan kepada rakyat-rakyat Muar, itu fokus dia yang saya nampak.
“Dia seorang yang berwibawa, bila cakap fasal ayat-ayat manis. Saya rasa tak salah dia mempertahankan saya.
“Terima kasih, saya hargai. Untuk kita dapat orang mempertahankan kita bukan senang, kita tak suruh,” katanya dalam sebuah audio siar.
Mengulas mengenai perbandingan yang sering dibuat netizen dengan lelaki-lelaki lain, pelantun lagu Lebih Indah Berpisah itu memohon agar setiap perjalanan hidup tidak dipukul sama rata kerana setiap insan melalui ujian berbeza.
“Orang cakap juga macam mana dengan lelaki-lelaki lain? Jangan samakan kehidupan kita dengan orang lain, saya takut nak bandingkan.
“Apa yang kita lalui berbeza, sama juga dengan benda kita makan.. Saya hanya akan lalui apa yang berlaku selepas ini.
“Kita manusia mampu merancang, apa-apa Allah yang menentukan. Apa saya ada dengan YB, saya jalani dengan hati gembira dan bersyukur,” ujarnya.
Dalam masa sama, Bella lebih matang dalam menilai erti kebahagiaan dan memaklumkan pasangan yang tepat adalah mereka yang mampu membawa ketenangan jiwa.
“Pasangan adalah peranan sangat penting dalam kehidupan.
“Salah pilih pasangan pun tak bawa kebahagiaan. Mesti ada orang tanya macam mana nak tahu seseorang tepat?
“Bila kita dapat rasa ketenangan, tak membawa apa-apa toksik dalam kehidupan dan beri manfaat insya-Allah itu pasangan tepat kerana saling memahami serta menghormati,” ujarnya lagi.
Sebelum ini, Bella sah bergelar tunangan kepada Saddiq dalam sebuah majlis selepas mula intim sejak awal 2024. – KOSMO! ONLINE














