KOTA BHARU – Subsidi diesel yang ditanggung oleh kerajaan melalui Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) meningkat kepada RM2.2 bilion pada bulan lalu.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, peningkatan tersebut memberi implikasi kewangan yang besar kepada kerajaan berikutan lonjakan harga pasaran global.
Menurutnya, kerajaan sebelum ini membelanjakan sebanyak RM3.45 bilion untuk SKDS sepanjang tahun lalu.
“Pelaksanaan SKDS pada tahun ini dijangka meningkat susulan kenaikan harga diesel di pasaran global. Sebagai contoh, harga diesel dunia pada 26 Februari lalu adalah AS$93 (RM374) setong berbanding AS$239 setong (RM963) setong pada Mac lalu.
“Peningkatan itu melibatkan lonjakan harga mencecah 158 peratus. Sehubungan itu, SKDS yang diunjurkan mencecah RM2.2 bilion sebulan pada bulan lalu,” katanya pada sidang akhbar semasa hadir ke Taklimat Penguatkuasaan Ops Tiris 4.0 (Bersepadu) dan Akta Kawalan Bekalan 1961 Kepada Pemborong Barang Kawalan dan Pengusaha Stesen Minyak Kelantan di sebuah hotel di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Armizan memberitahu, pelaksanaan SKDS melibatkan 33 jenis kenderaan di bawah dua kluster utama iaitu 10 jenis kenderaan sektor pengangkutan awam darat dan 23 jenis kenderaan sektor pengangkutan barangan.
Menurutnya, setakat ini, kadar subsidi bagi sektor pengangkutan awam darat adalah RM1.88 seliter manakala sektor pengangkutan barangan sebanyak RM2.15 seliter.
“Sehingga 30 Mac lalu, sebanyak 150,755 syarikat dan entiti melibatkan 368,911 kenderaan diluluskan untuk SKDS di seluruh negara.
“Selain itu, subsidi petrol di seluruh negara ketika ini diunjurkan sebanyak RM3.3 bilion sebulan selain subsidi tenaga mencecah RM7 bilion,” katanya. – KOSMO! ONLINE














