TEHRAN – Russia memulakan gelombang pemindahan besar-besaran rakyatnya dari loji kuasa nuklear Bushehr di Iran semalam, susulan serangan Amerika Syarikat (AS) dan Israel yang mengorbankan salah seorang kakitangan keselamatan kemudahan itu, lapor laman berita Middle East Monitor.
Ketua syarikat nuklear negara, Rosatom, Alexey Likhachev ketika dipetik agensi berita TASS berkata, 198 pekerja dijangka kembali ke Russia dalam tempoh dua atau tiga hari.
Russia membantu membina loji itu dan setakat tahun lepas, mempunyai kira-kira 700 kakitangan yang bekerja di sana.
Likhachev menggariskan bahawa perkembangan di sekitar loji itu berlaku mengikut senario yang tidak diingini.
“Seperti yang mereka katakan, firasat buruk kami tidak salah. Secara keseluruhan, peningkatan konflik di sekitar Teluk Parsi membawa kepada akibat yang sepadan berhampiran loji itu,” katanya.
Seorang kakitangan keselamatan loji itu terbunuh apabila ia diserang semalam, lapor agensi berita Iran, Fars.
Katanya, salah satu bangunan tambahan loji itu rosak akibat letupan dan serpihan. – AGENSI














