JURULATIH Selangor FC, Kim Pan-gon terdesak untuk membantu pasukan layak ke final Piala Malaysia sekali gus melunaskan ‘Misi 34’ selain menamatkan penantian trofi berprestij negara buat kali pertama sejak edisi 2015.
Pan-gon percaya pasukannya memiliki ramuan terbaik untuk mencapai kejayaan menjelang aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia menentang Kuching City di Stadium MB Petaling Jaya, malam ini.
Kata Pan-gon, pasukan perlu memanfaatkan peluang beraksi di laman sendiri untuk mencari bekalan selesa sebelum bertandang di tempat lawan pada pusingan kedua 18 April depan.
“Saya harap pasukan mengambil peluang beraksi di tempat sendiri kerana kelemahan utama kami ketika ini adalah sering menghadapi kesukaran setiap kali bermain di tempat lawan.
“Mungkin keadaan padang (di tempat lawan) memainkan peranan kerana hanya beberapa venue memiliki padang yang baik.
“Apa yang pasti, saya harap semua peminat hadir untuk mencetuskan suasana yang luar biasa sekali memudahkan impian kita untuk layak ke final musim ini,” katanya.
Sementara itu, pengendali dari Korea Selatan itu turut menyeru pasukan agar waspada dengan ancaman yang boleh diberikan pasukan The Cats kerana mereka memiliki ramai pemain berkualiti.
“Kuching pasukan yang kuat dengan ramai pemain yang bagus termasuk Ramadhan Saifullah dan kami perlu hormati mereka. Namum, saya percaya pasukan tidak akan hadapi masalah jika ikut taktikal yang sudah kami terapkan,” katanya.














