JERANTUT – Penantian penuh debar ahli keluarga remaja berusia 14 tahun yang hilang sejak kelmarin berakhir apabila mayat mangsa kedua itu ditemukan lemas di Sungai Pahang berdekatan Kampung Durian Hijau di sini kira-kira tiga kilometer dari lokasi kejadian pagi tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Pahang, Mohd. Salahuddin Isa berkata, mayat Muhammad Amirul Ashraf Abdullah ditemukan orang awam yang turut membantu dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) pada pukul 9.50 pagi.
Mayat mangsa yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jengka 24 kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Penemuan ini melengkapkan pencarian dua remaja yang hilang selepas mandi di sungai itu sejak Jumaat lalu,” katanya hari ini.
Terdahulu, mayat Muhammad Daneal Haikal Shamsudin, 14, ditemukan pukul 4.20 petang semalam kira-kira dua kilometer dari lokasi kejadian. Difahamkan, kedua-dua mangsa bersama lima rakan berusia 13 hingga 15 tahun pergi ke sungai untuk mandi sebelum kejadian tragis tersebut berlaku. -KOSMO! ONLINE














