KAJANG – Seorang lelaki tempatan berusia 24 tahun dipercayai terlibat dalam kejadian gangguan seksual di kawasan Stesen MRT Kajang yang tular di media sosial ditahan pihak berkuasa.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya mengesan video kejadian itu yang berdurasi 23 saat tular di aplikasi Threads pada pukul 6.15 petang, Khamis lalu.
“Suspek ditahan di rumahnya di Taman West Country, Bandar Baru Bangi semalam. Pemuda itu akan dibawa ke Mahkamah Majistret Kajang bagi permohonan reman untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Sarjan Nor Atiqah Anuar di talian 013-7948922.
Kosmo! sebelum ini melaporkan seorang wanita mendakwa dicabul lelaki ketika menunggu di pintu keluar Stesen MRT Kajang. Bagaimanapun mangsa hanya sempat merakam dari belakang lelaki berbaju warna merah itu selepas beredar dari lokasi tersebut. – KOSMO! ONLINE














