JOHOR Darul Ta’zim enggan terbuai sikap berpuas hati, malah kekal dengan kemahuan yang tinggi untuk mencipta sejarah yang lebih gemilang dalam arena bola sepak negara.
Biarpun berjaya mencatat kemenangan 4-0 ke atas Kuala Lumpur City di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur pada separuh akhir pertama Piala Malaysia, kelmarin, pengendali Harimau Selatan, Xisco Munoz enggan pasukannya berasa selesa.
“Perkara yang positif dan ia juga keputusan positif. Tetapi, apa yang penting kita teruskan dengan kerja yang sama, kita beri banyak peluang kepada mereka dalam beberapa transisi serangan.
“Ia penting bagi kita dan perlu lebih fokus dalam beberapa situasi permainan. Maksud saya, secara positifnya, bukan mudah untuk bermain di sini dan mendapat keputusan yang baik.
“Tetapi, kita perlu lakukan tugas kita, fokus pada corak permainan kita dan saya rasa kita boleh perbaiki beberapa perkara,” katanya.
Pada perlawanan kelmarin, bintang import, Age Aketxe menjadi pemain paling menyinar buat Harimau Selatan apabila menyumbangkan dua gol diikuti satu gol daripada Bergson Da Silva dan Oscar Aribas.
Munoz juga cukup teruja dengan kualiti dijelmakan oleh Aketxe dan segala kerja keras dilakukan pemain itu kini mula membuahkan hasil.
“Saya sangat gembira dengannya kerana saya tahu bagaimana dia telah berusaha lama untuk sampai ke tahap ini. Memandangkan kita mempunyai perkara penting dalam masa terdekat dan kita memerlukan pemain kita bersedia untuk perlawanan penting tersebut,” katanya.














