KOTA TINGGI – Hubungan diplomatik Malaysia dengan Iran menjadi antara faktor penting dalam membantu negara menghadapi kesan krisis minyak susulan ketegangan geopolitik melibatkan Amerika Syarikat dan Israel.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, hubungan baik yang terjalin membolehkan Malaysia memastikan kelangsungan bekalan tenaga walaupun berdepan situasi global yang tidak menentu.
Menurut beliau, konflik yang berlaku telah memberi kesan besar kepada rantaian bekalan minyak dunia termasuk peningkatan kos penghantaran dan insurans.
“Pendirian tegas Malaysia yang membantah serangan terhadap Iran memberi kesan positif apabila kapal negara dibenarkan melalui Selat Hormuz, laluan penting perdagangan minyak dunia.
“Ingat senang untuk pujuk kepimpinan Iran bagi membolehkan kapal kita melalui Selat Hormuz? Ini hasil hubungan diplomatik yang kita bina dan pelihara.
“Saya sendiri berhubung secara langsung dengan kepimpinan Iran bagi memastikan urusan melibatkan kapal dan bekalan minyak Malaysia tidak terjejas.
“Alhamdulillah, hasil hubungan diplomatik yang baik, mereka memberi jaminan untuk membantu memudahkan urusan tersebut,” katanya ketika berucap pada program bersama warga Felda di Felda Semenchu, di sini hari ini.
Ahli Parlimen Tambun itu berkata, situasi semasa amat mencabar apabila kos logistik termasuk tambang kapal dan insurans meningkat secara mendadak akibat risiko konflik di rantau berkenaan.-KOSMO! ONLINE














