PETALING JAYA – Sekumpulan lelaki yang dipercayai cuba untuk memecah masuk rumah di sebuah kawasan perumahan lari lintang-pukang apabila tindakan mereka disedari oleh pengawal keselamatan.
Kejadian itu didakwa berlaku di kawasan perumahan Batu Kawa, Kuching semalam.
Menerusi rakaman video oleh @Ryanrunner di Facebook, dia mendakwa kehadiran tiga lelaki di belakang rumah tersebut kira-kira pukul 7 malam sebelum bertindak menyergah mereka dari jarak jauh.
“Hoi curi ke, haaaa curi-curi…haaaa curi…,” sergah pengawal keselamatan kepada pencuri yang hendak pecah masuk itu.
Ketiga-tiga suspek yang pada mulanya dilihat sedang berkumpul dan memantau keadaan di lorong belakang rumah tersebut terus melompat keluar ke tembok luar untuk melarikan diri ke kawasan semak berhampiran apabila disergah.
“Kepada sesiapa yang tinggal di kawasan perumahan Batu Kawa, Kuching, mesti hati-hati sebab tadi kami pengawal keselamatan mendapati beberapa orang ingin pecah rumah,” katanya.
Meninjau ke ruangan komen, rata-rata pengguna media sosial memuji tindakan pantas pengawal tersebut yang berani memberi amaran bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.
“Ini baru betul rakam lepas itu tegur, bukan rakam biarkan sahaja,” kata pengguna Avyner Abeat.
“Syabas pihak keselamatan, anda sangat menjaga harta benda orang lain,” kata pula pengguna Francis Wei.
Penduduk di sekitar kawasan dinasihatkan untuk lebih berwaspada dan sentiasa memastikan pintu serta pagar rumah dikunci terutamanya pada waktu malam susulan kejadian ini. – KOSMO! ONLINE














