PETALING JAYA – Tuduhan tidak berasas, syarikat pengurusan, Stars Powerhouse Entertainment menyangkal sekeras-kerasnya dakwaan liar mengaitkan artis naungan mereka, Alya Iman, dengan kemelut perceraian pasangan selebriti yang tular baru-baru ini.
Menerusi satu kenyataan, pihak pengurusan memandang serius penyebaran maklumat tidak sahih yang disifatkan sebagai fitnah dan berpotensi mencalarkan reputasi pelakon tersebut.
“Stars Powerhouse Entertainment memandang serius penyebaran kenyataan palsu yang mengaitkan artis kami, Alya Iman, dengan isu perceraian pasangan artis yang tular baru-baru ini.
“Tuduhan tersebut tidak benar, berunsur fitnah dan menjejaskan reputasi.
“Kami tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak terlibat,” tegas kenyataan itu.
Dalam masa sama, pihak pengurusan turut menggesa semua pihak agar menghentikan segera penyebaran dakwaan tidak berasas tersebut di semua platform media sosial.
“Hentikan penyebaran serta-merta dan turunkan semua kandungan berkaitan di semua platform.
“Sebarang tindakan lanjut akan diambil tanpa sebarang kompromi,” jelasnya.
Terdahulu, industri hiburan dikejutkan dengan berita perceraian penyanyi Zizi Kirana dan pelakon Yusuf Bahrin selepas disahkan bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Petaling.
Susulan itu, timbul spekulasi tidak bertanggungjawab apabila segelintir pihak cuba mengaitkan Alya sebagai punca keretakan rumah tangga pasangan terbabit. – KOSMO! ONLINE














