SELEPAS mencetuskan fenomena luar biasa menerusi lagu Cinta Setandan Pisang (Bae Sobar Bae) pasangan duet tular, Eda Ezrin dan Den Manjo kini kembali mengubati rindu peminat menerusi karya terbaharu berjudul Adek Saye Abe Sore.
Lagu ciptaan komposer tersohor, Eddie Hamid bersama Mekiya tersebut merupakan kesinambungan kepada hit terdahulu mereka yang kini telah mencecah lebih 33 juta tontonan di YouTube.
Eddie atau nama sebenarnya Abd. Hamid Adenan mendedahkan bahawa lagu tersebut sebenarnya disiapkan sejak setahun lalu.
Bagaimanapun, dia memilih untuk menyimpan karya tersebut daripada diberikan kepada penyanyi lain demi menantikan kesediaan Eda Ezrin yang sebelum ini berdepan dengan ujian peribadi.
“Genre dan vokal lagu ini memang sangat sesuai untuk Eda Ezrin. Walaupun ramai penyanyi lain meminta lagu ini, saya tetap menyimpannya kerana karya ini adalah kesinambungan naskhah terdahulu mereka.
“Kali ini, susunan muziknya dibuat lebih moden, namun tetap mengekalkan elemen dikir barat yang menjadi identiti mereka,” katanya.
Bagi Eda Ezrin atau Wan Norshaheeda Azlin Wan Ismail, 31, pelancaran lagu ini merupakan simbolik kebangkitannya dalam industri seni selepas melalui fasa sukar dalam hidup.
Penyanyi sohor dari Kelantan itu tetap nekad meneruskan kerjaya nyanyian dan perniagaan, lebih-lebih lagi dia dijangka bersalin pada hujung bulan ini.
“Saya mahu membina hidup baharu dan enggan menoleh ke belakang lagi. Apa yang penting sekarang adalah fokus pada perniagaan dan nyanyian selepas bersalin nanti.
“Bohonglah kalau kata saya tak berdebar sewaktu diberi lagu ini. Saya berdebar sebab tahu mesti orang akan bandingkan dengan lagu sebelum ini.
“Apapun, saya tetap berdoa agar lagu ini mendapat sambutan hangat daripada orang ramai dan mampu berada di tangga teratas carta lagu,” katanya.
Sementara itu, Den Manjo mengakui sanggup menunggu selama setahun demi menyelesaikan rakaman yang tertangguh kerana menyedari keserasian yang kuat antara mereka berdua.
“Saya jarang berduet dengan orang lain selain Eda, jadi, saya sedia menunggunya walaupun lama.
“Selepas sambutan hangat yang diberikan terhadap lagu duet saya dengan Eda, memang saya tak sabar untuk bekerjasama lagi dengan dia.
“Walaupun terpaksa tunggu lama tapi saya tetap bersyukur kerana dapat kembali berpadu suara dengan Eda. Saya harap lagu ini juga mendapat sambutan hangat seperti mana lagu duet kami sebelum ini,” katanya.
Adek Saye Abe Sore terbitan Kijang Music dan edaran Nova Music Malaysia boleh mula distrim menerusi semua platform penstriman muzik digital bermula 26 Mac lalu.
Video muzik lagu tersebut boleh mula ditonton dalam saluran YouTube rasmi Kijang Music pada tarikh sama.














