SHAH ALAM – “Mungkin ada hikmah, saya harap ada perubahan dari segi hukuman dan akta.”
Demikian luahan isteri kepada pekerja gudang, Allahyarham Amirul Hafiz Omar, 33, yang maut dalam keadaan tragis apabila badannya melambung sebelum terdampar atas bumbung kereta selepas dilanggar pemandu yang mabuk dan khayal dadah di sini Ahad lalu.
Menurut Nur Nadia Abdul Majid, 32, menjadi harapannya agar tiada insan tidak berdosa menjadi mangsa terhadap insiden sama terjadi Allahyarham suaminya.
“Mungkin ada hikmah dengan pemergian suami saya ini. Insya-Allah, saya berdoa ada perubahan dari segi hukuman dan akta,” katanya ketika ditemui pemberita di kediamannya di Pangsapuri Ken Rimba, Seksyen 16 di sini hari ini.
Terdahulu, beliau menerima kunjungan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Datuk Seri Dr. Mohamed Azman Aziz Mohamed yang menyampaikan Pencen Penakat selain Faedah Pengurusan Mayat berjumlah RM3,000.
Ibu kepada tiga anak itu berkata, sumbangan daripada orang ramai yang diterima sehingga kini banyak membantu dari segi emosi dan kelangsungan hidup anak-anak mereka.
Malah katanya, ketiga-tiga anaknya berusia dua, tujuh dan sembilan tahun amat gembira apabila menerima basikal daripada PU Riz atau nama sebenarnya, Muhammad Haris Mohd Ismail, 31.
“Ramai yang bagi sumbangan sampai saya cakap letak di luar sahaja. Rakyat Malaysia memang prihatin.
“Saya pun kena bangkit. Tidak boleh bersedih lagi. Anak-anak masih kecil. Saya pun berharap impian membuka kedai pakaian terpakai dapat dilaksanakan. Harap orang ramai akan viralkan kedai yang saya buka nanti,” jelasnya.
Mengulas lanjut, Nur Nadia menyatakan bahawa anak-anaknya masih merindui Allahyarham bapa mereka dengan menziarahi kubur setiap hari.
“Pakai baju arwah tidak pasti sebab mak tidak hantar gambar apa-apa pun mungkin tidak mahu ganggu emosi saya. Tetapi tengok okay je makan. Setakat ini, mereka belum menerima kaunseling daripada mana-mana pihak.
“Untuk urusan perpindahan sekolah, insya-Allah dapat diselesaikan dalam minggu depan,” katanya. – KOSMO! ONLINE














