KYIV – Presiden Volodymyr Zelensky berkata bahawa Ukraine boleh membantu membuka sekatan Selat Hormuz selepas penutupannya oleh Iran menggugat ekonomi dunia.
Iran mengenakan sekatan ketat ke atas laluan perkapalan utama itu sehingga mengancam bekalan bahan api sekali gus ekonomi global sebagai tindak balas terhadap serangan Amerika Syarikat-Israel yang mencetuskan perang Asia Barat.
“Tiada sesiapa pun melibatkan kami secara khusus dalam isu Selat Hormuz. Semasa lawatan saya, saya memberitahu wakil-wakil Asia Barat dan Teluk bahawa Ukraine bersedia membantu dalam segala apa yang berkaitan dengan pertahanan,” kata Zelensky.
Beliau bercakap kepada sekumpulan kecil wartawan, termasuk AFP semalam.
Zelensky tidak memperincikan bagaimana Ukraine boleh membuka semula Selat Hormuz, tetapi memetik pengalaman Kyiv memulihkan laluan di Laut Hitam yang sebelum ini disekat oleh Russia.
Ukraine bimbang diketepikan apabila dunia mengalihkan tumpuan kepada perang di Asia Barat.
Minggu lalu, Zelensky melawat beberapa negara Asia Barat dan menandatangani perjanjian pertahanan dengan Qatar serta Arab Saudi.
“Saya percaya kami telah mengubah sikap negara-negara Asia Barat dan wilayah Teluk terhadap Ukraine untuk tahun-tahun yang akan datang,” kata Zelensky. – AFP














