MILAN – Penjaga gol Itali, Gianluigi Donnarumma menganggap kegagalan negaranya layak ke Piala Dunia 2026 mampu menjadi titik kebangkitan buat skuad The Azzurri.
Walaupun perit untuk menelan kekecewaan apabila impian debutnya di Piala Dunia gagal direalisasi, Donnarumma mahu pasukan itu segera membina semula kekuatan bagi menjadikan Itali kembali dihormati dalam bola sepak dunia.
“Sentiasa yakin dan semua ini adalah pemangkin untuk memacu kami lebih ke depan. Inilah kehidupan, pasti akan ada ganjaran kepada mereka yang sudah berikan segala-galanya.
“Jadi, ini adalah tempat yang kami harus bermula semula. Sekarang kami harus memulakan sekali lagi dan kekal bersatu untuk pacu pasukan,” katanya.
Kali terakhir Itali beraksi di Piala Dunia adalah pada edisi 2014 apabila mereka terkandas dalam saingan Kumpulan D dan Donnarumma hanya mula menyarung jersi kebangsaan kira-kira dua tahun kemudian.
Kegagalan kali ini juga menyaksikan wujud kritikan keras termasuk gesaan supaya Presiden Persekutuan Bola Sepak Itali (FIGC), Gabriele Gravina letak jawatan serta ketua jurulatih, Gennaro Gattuso meninggalkan skuad kebangsaan. – AGENSI














