SHAH ALAM – Kebajikan balu dan tiga anak pekerja gudang yang maut dirempuh di Jalan Raya Barat, Klang Ahad lalu, terus terbela selepas layak menerima Pencen Penakat Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) berjumlah RM2,888.17 sebulan.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perkeso, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed, berkata Allahyarham Amirul Hafiz Omar, 33, yang juga pekerja di TVH Malaysia Sdn. Bhd. selama 15 tahun adalah pencarum aktif bawah skim LINDUNG Pekerja, Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4).
“Rekod caruman Allahyarham memenuhi syarat Skim Keilatan, membolehkan waris menerima Pencen Penakat.
“Caruman sebelum ini kini menjadi talian hayat buat balunya, Nor Nadia Abdul Majid, 32, dan tiga anak mereka merangkumi Muhammad Aqif Amsyar, Muhammad Afif Izz Rayqal dan Nur Humaira, berumur dua hingga sembilan tahun,” katanya selepas menyerahkan Pencen Penakat serta Faedah Pengurusan Mayat berjumlah RM3,000 kepada Nor Nadia di Pangsapuri Ken Rimba, Seksyen 16, hari ini.
Mohammed Azman menambah, Nor Nadia akan menerima bayaran bulanan sepanjang hayat, manakala anak-anak pula dibantu dari segi pendidikan sehingga 21 tahun atau tamat pengajian ijazah pertama.
“Caruman Perkeso yang konsisten menjadi benteng penting bagi menjamin kelangsungan hidup waris dan menyelamatkan masa depan keluarga Allahyarham,” katanya.
Beliau turut menekankan perlindungan sosial diperluas melalui Akta Pekerja Gig 2025 (Akta 872) yang berkuat kuasa 31 Mac lalu dalam menjamin kebajikan lebih 1.64 juta pekerja sektor gig.
Mohammed Azman menegaskan Perkeso sentiasa memastikan pencarum mendapat faedah daripada caruman mereka meskipun kes tidak tular di media sosial.
“Perkeso sentiasa proaktif melalui kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan 128 agensi dalam rangkaian sinergi sosial. Pegawai akan turun padang memastikan waris yang layak menerima bantuan tanpa menunggu laporan viral,” katanya.
Dalam pada itu, Nur Nadia meluahkan rasa lega dengan bantuan diterima dalam memastikan kehidupannya dan anak-anak terjamin pada masa depan.
“Memang saya suri rumah, bergantung sepenuhnya kepada suami dan rasa terkurang beban dengan bantuan Perkeso ini.
“Saya juga akan mencarum Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) supaya caruman saya kepada anak atau waris. Tidak mahal pun, cuma beberapa ringgit sebulan. Ini memastikan mereka terus terjaga sekiranya saya tiada,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE














