KANGAR – Sepasang suami isteri bersama seorang lagi individu dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 510 kilogram (kg) di Wang Kelian, dekat sini bulan lalu.
Pertuduhan terhadap Muhammad Amir Aswad Ismail, 27, dan isterinya Nur Atiqa Anis Ramadha Abdullah, 24, serta Mohd Rizuan Ramli, 37, dibacakan di hadapan Majistret Nurul Natasha Rizal.
Mereka mengakui memahami pertuduhan yang dibacakan, namun tiada pengakuan direkodkan.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama mengedar 510 kg methamphetamine di jalan utama berhampiran persimpangan mini tar pencawang Tenaga Nasional Berhad Wang Kelian, Jalan Wang Kelian, Kaki Bukit dekat Padang Besar kira-kira pukul 9.30 pagi, 24 Mac lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama serta dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Alif Farhan Hassan manakala semua tertuduh diwakili peguam Nur Iman Nor Azmi.
Sementara itu, mahkamah tidak membenarkan jaminan terhadap ketiga-tiga tertuduh tersebut dan sebutan semula kes pada 2 Julai depan bagi mendapatkan laporan kimia selain dua tertuduh lelaki dihantar ke Pusat Koreksional Perlis manakala tertuduh perempuan dihantar ke Penjara Pokok Sena di Kedah. – KOSMO! ONLINE














