PETALING JAYA – Melihat dan menghargai usaha keras anak untuk berjaya dalam akademik, pelakon Norman Hakim menzahirkan rasa bangga terhadap Maria Danisha yang memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Norman atau nama sebenarnya Mohamed Nurhakim Zaidon, 50, juga memohon maaf sekiranya pernah membuatkan puteri bongsu kesayangannya itu berasa terpinggir dan tidak dihargai.
“Untuk anak kesayangan papa, Maria Danisha, papa mohon maaf jika pernah buat kamu rasa tidak dipedulikan. Tetapi ketahuilah, papa nampak kamu.
“Papa nampak usaha, kekuatan serta kesabaran kamu dalam memberikan yang terbaik untuk SPM 2025,” katanya dalam Instagram.
Tambah pelakon drama Jangan Ambil Kerja Tuhan itu, anaknya layak menikmati kejayaan diraih selepas melalui pelbagai cabaran termasuk perjuangan senyap tidak diketahui ramai.
“Papa ingin ucapkan tahniah atas keputusan cemerlang kamu. Setiap usaha, termasuk perjuangan dalam diam, akhirnya membuahkan hasil.
“Itu bukan pencapaian kecil. Papa sangat bangga dengan kamu. Kamu tidak perlu tanggung segalanya seorang diri.
“Perasaan kamu penting, usaha kamu penting dan kamu sangat bermakna. Papa akan sentiasa ada, berdiri di sisi dan percaya pada kamu. Papa sayang kamu selamanya,” tuturnya.
Sebelum ini, perkongsian Maria Danisha, 18, mencetuskan tanda tanya apabila seolah-olah meluahkan rasa kurang diberi perhatian meskipun berjaya dalam SPM.
Pun begitu, dalam hantaran berbeza, anak kepada pelakon Abby Abadi itu menjelaskan luahan tersebut tidak berkait dengan isu keluarga, sebaliknya lebih kepada perasaan peribadi dilaluinya sepanjang tempoh berkenaan. – KOSMO! ONLINE.














