SHAH ALAM – Tindakan kejam seorang lelaki mendera seekor anak kucing dengan mencampaknya ke dinding berulang kali di dobi layan diri membawa padah apabila ditahan di sekitar Kajang, dekat sini hari ini.
Penahanan suspek berusia 40an dilakukan pukul 11 pagi selepas insiden berkaitan tular menerusi video berdurasi 59 saat di media sosial.
Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Selangor berkata, pihaknya bertindak ke lokasi selepas menerima maklumat dan aduan awam berhubung kejadian tersebut.
“Hasil pemeriksaan terdapat seekor anak kucing dipercayai haiwan yang sama seperti dipaparkan dalam video tular itu berada di lokasi kejadian.
“Pemeriksaan lanjut turut mendapati suspek yang terlibat turut berada di sekitar lokasi sebelum dia ditahan bagi siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
JPV Selangor menambah, siasatan awal dijalankan mendapati lelaki berkenaan melakukan perbuatan mendera anak kucing tersebut antara pukul 3.40 pagi hingga 3.50 pagi, semalam.
“Sitaan telah dibuat terhadap anak kucing yang didera itu selain sebuah telefon bimbit dan seutas tasbih dipercayai milik lelaki itu untuk siasatan lanjut.
“Permohonan reman terhadap suspek akan dibuat dibawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah [Akta 593] dan kes disiasat mengikut subseksyen 29(1)(a) Akta Kebajikan Haiwan 2015 [Akta 772],” jelasnya. – KOSMO! ONLINE














