ALOR SETAR – Suasana pagi yang tenang bertukar gempar apabila sebuah Perodua Myvi dipandu seorang lelaki warga emas mengundur dengan laju lalu merempuh pagar serta empat kenderaan milik jirannya, hari ini.
Kejadian yang berlaku di Taman Pinang Emas, Bukit Pinang di sini kira-kira pukul 6.45 pagi itu turut tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Syed Basri Syed Ali berkata, hasil siasatan awal mendapati kejadian berlaku apabila pemandu berusia 63 tahun itu hilang kawalan menyebabkan kereta tersebut mengundur dengan laju dari parkir rumahnya.
“Kereta tersebut kemudian melanggar sebuah Toyota Alphard yang diletakkan di hadapan rumah jiran sebelum merempuh pagar rumah serta kereta jenis Honda Civic, pikap Ford Ranger dan motosikal jenis Honda X-ADV.
“Pemandu terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan dan keretanya mengalami kerosakan pada bahagian belakang,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata, empat kenderaan lain yang terlibat turut mengalami kerosakan akibat kejadian tersebut.
Tambahnya, kemalangan dipercayai berpunca daripada kecuaian pemandu itu sendiri yang gagal mengawal kenderaan dengan baik sehingga menyebabkan kemalangan ketika mengundur.
“Kes disiasat di bawah Peraturan 17 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (LN 166/59),” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














