KUALA LUMPUR – Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS), Datuk Wan Abdul Latiff Wan Jaffar didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menerima rasuah RM100,000 berhubung rayuan pengecualian penyediaan laporan penilaian impak alam sekitar (EIA) sebuah projek jalan di Pulau Pinang tahun lalu.
Bagaimanapun Wan Abdul Latiff, 59, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Suzana Hussin.
“Faham, tidak (bersalah),” katanya.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah secara rasuah menerima suapan wang tunai berjumlah RM100,000 daripada pengarah sebuah syarikat menerusi seorang individu yang merupakan pengurus projek syarikat yang sama.
Ia yang mana wang itu sebagai upah bagi tertuduh sebagai Ketua Pengarah JAS mempertimbangkan rayuan untuk pengecualian penyediaan Laporan EIA.
Penyediaan laporan EIA itu ialah “Permohonan Kebenaran Merancang Untuk Cadangan Membina Jalan Berkembar Bukit Kukus dan Kerja Tanah Untuk Mitigasi Di Atas Tanah Kerajaan, Jalan Bukit Kukus, Mukim 13, Daerah Timur Laut, Paya Terubong, Pulau Pinang yang dipohon oleh sebuah syarikat melalui surat bertarikh 22 November 2024”.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar, Wisma Sumber Asli, Putrajaya pada 15 Januari 2025 yang didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) Akta yang sama.
Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan penjara tidak lebih 20 tahun dua puluh tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.
Mahkamah kemudian tertuduh diikat jamin RM40,000 dan menetapkan 7 Mei ini bagi sebutan semula kes.
Sementara itu, di Mahkamah Sesyen berlainan Timbalan Ketua Pengarah jabatan itu, Norhazni Mat Sari, 59, didakwa atas enam pertuduhan menerima RM21,000 tanpa balasan menerusi enam transaksi berlainan melalui akaun bank anaknya.
Mengikut pertuduhan pertama hingga keenam, tertuduh didakwa sebagai Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) JAS telah menerima sebanyak RM21,000 daripada seorang pengarah sebuah syarikat.
Kesemua wang itu diterima secara pindahan atas talian ke akaun bank milik anaknya yang tertuduh ketahui pengarah syarikat itu mempunyai hubungan dengan kerja-kerja rasminya.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah bank cawangan Bukit Bintang di sini antara 18 April 2022 hingga 19 Julai 2024 yang didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan.
Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan pemenjaraan maksimum dua tahun atau denda atau dengan kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Hakim Azura Alwi kemudian tertuduh diikat jamin RM25,000 dan menetapkan 19 Mei ini bagi sebutan semula kes. – KOSMO! ONLINE














