fbpx
Aedy Fadly bercakap kepada pemberita selepas Majlis Perhimpunan Setia di Kementerian Pengankutan, Putrajaya hari ini. Foto oleh FAISOL MUSTAFA/ KOSMO!

JPJ semak semula akta, perketat hukuman pemandu mabuk, positif dadah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA – Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Aedy Fadly Ramli berpendapat bahawa hukuman sedia ada di bawah Seksyen 44 dan Seksyen 45 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 masih belum cukup untuk memberi pengajaran kepada pesalah walaupun telah dipinda dan diperketatkan sebelum ini.

Beliau berpendapat tindakan yang lebih keras perlu dikenakan terhadap pemandu di bawah pengaruh alkohol dan dadah bagi memberi kesedaran serta mengelak lebih banyak kemalangan maut berlaku di negara ini.

Justeru, katanya, JPJ telah memulakan semakan semula ke atas Seksyen 44 dan Seksyen 45 APJ 1987 selaras dengan arahan Kementerian Pengangkutan (MOT) serta keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri yang mahu hukuman lebih berat dikenakan terhadap pesalah terlibat.

“Kita akan teliti dan kaji terlebih dahulu bersama pasukan perundangan JPJ sebelum dibawa kepada Menteri dan Jemaah Menteri untuk pertimbangan lanjut,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perhimpunan Setia JPJ Bulan Mac 2026 di sini hari ini.

Pada 30 Mac lalu, media melaporkan MOT sedang merangka cadangan pindaan lanjut terhadap Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi mewajibkan pesalah memandu bawah pengaruh alkohol atau dadah, membayar ganti rugi kepada keluarga mangsa, selain menjalani hukuman penjara yang dikenakan.

Mengulas lanjut, Aedy Fadly berkata, pindaan terhadap Seksyen 44 dan 45 telah dibuat sebelum ini sekitar tahun 2021 dan 2022 dengan hukuman ditingkatkan sehingga penjara maksimum 15 tahun serta denda sehingga RM500,000.

“Walaupun hukuman telah diperketatkan, kita masih melihat mungkin perlu ada tindakan yang lebih keras untuk memberi kesedaran kepada pesalah dan mengelakkan mereka memandu dalam keadaan mabuk atau di bawah pengaruh dadah,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, JPJ juga akan melaksanakan usaha advokasi yang lebih agresif bagi meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai bahaya pemanduan di bawah pengaruh alkohol dan dadah.

Media sebelum ini melaporkan, seorang penunggang motosikal maut dilanggar pemandu kereta yang berada di bawah pengaruh alkohol dan dadah dalam kejadian kira-kira pukul 11.40 pagi, pada 29 Mac lalu.

Kejadian berkenaan mengakibatkan mangsa Amirul Hafiz Omar, 33, tercampak ke atas bumbung kereta jenis Perodua Myvi sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN