fbpx
VERSTAPPEN sering menimbulkan rasa tidak puas hati ekoran peraturan baharu yang diperkenalkan F1 ketika ini. - AFP

F1: Verstappen diselar sering ‘merengek’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TOKYO – Bekas pelumba Formula Satu (F1), Martin Brundle mengkritik kenyataan Max Verstappen yang berulang kali mengancam untuk meninggalkan F1 sambil menyifatkannya sebagai semakin membosankan.

Juara dunia empat kali itu sebelum ini meluahkan rasa tidak puas hati selepas menamatkan perlumbaan di tempat kelapan pada Grand Prix Jepun, sekali gus mencetuskan spekulasi mengenai masa depannya dalam F1.

Verstappen dilihat kecewa terutama terhadap peraturan baharu 2026 yang disifatkannya lebih menekankan pengurusan tenaga berbanding kelajuan serta kemahiran berlumba.

Mengulas perkara itu, Brundle berkata, Verstappen perlu membuat keputusan jelas dan tidak terus mengulang kenyataan sama.

“Max (Verstappen) memang seorang yang sangat terbuka dan sejak dahulu lagi dia sering bercakap bahawa dia tidak bercadang untuk berada lama dalam sukan ini, tidak mahu berlumba hingga usia 40 tahun atau sebagainya.

“Max mungkin akan kata ia semakin membosankan sekarang. Pada saya, apa yang dia katakan juga sudah menjadi agak membosankan. Sama ada dia boleh pergi atau berhenti bercakap mengenainya,” katanya.

Brundle turut menegaskan, tiada mana-mana individu yang terlalu penting dalam sukan itu kerana F1 akan terus berkembang dengan kehadiran bakat baharu.

Brundle turut membandingkan pendekatan Verstappen dengan legenda F1, Michael Schumacher, yang menurutnya lebih cenderung menyelesaikan isu secara dalaman.

“Apa yang Schumacher akan lakukan ialah menutup pintu, mengetuk meja, berbincang dengan pihak berkaitan, kemudian keluar dengan senyuman dan berkata ‘semuanya baik’. Jika masih tidak diselesaikan, barulah perkara itu dibawa kepada media. Tetapi, itu bukan cara Max,” ujarnya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN