GOMBAK – “Saya takut kalau beritahu, saya akan kena pukul,” demikianlah luahan seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun yang menjadi mangsa liwat di sebuah rumah kebajikan di Selayang, di sini, sejak dua tahun lalu.
Mangsa merupakan antara lebih 20 kanak-kanak berusia sembilan hingga 17 tahun yang mengalami penderaan fizikal dan seksual di rumah kebajikan tersebut yang telah beroperasi selama 10 tahun itu.
Dakwanya, perbuatan terkutuk itu dilakukan oleh pengasas rumah tersebut yang berusia 31 tahun.
“Dia (pengasas rumah) akan ajak saya dan beberapa kanak-kanak lain untuk keluar pergi ke kondominium dia. Disana akan minum alkohol, kemudian minta kami urut dia sehinggalah ke kawasan kemaluan.
“Saya juga pernah diliwat sambil dirakam di tandas rumah kebajikan ini dengan disaksikan kawan-kawan dia. Baru-baru ini saya terima jahitan di kawasan kemaluan disebabkan kejadian itu,” katanya dalam sidang akhbar di rumah kebajikan tersebut bersama Pertubuhan Kebangkitan Tiga Tangan Selangor (PKTTS), di sini, hari ini.
Tambah kanak-kanak tersebut, dia tidak berani untuk memaklumkan insiden itu kepada sesiapa kerana sering dipukul menggunakan batang buluh di kepala selain dilumurkan dengan cili merah di muka.
Selain kanak-kanak tersebut, seorang lagi mangsa lelaki berusia 15 tahun turut mendedahkan perkara sama apabila didera secara seksual sejak empat tahun yang lalu.
Katanya, dia dan adik lelakinya berusia 14 tahun juga menjadi mangsa liwat kepada pengasas rumah tersebut apabila diajak ke kondominium yang sama kononnya untuk bermandi di kolam renang.
“Di sana (kondominium) saya kena (liwat) lima kali, di sini (rumah kebajikan) pun saya kena lima kali. Dia akan minta saya buat sesuatu sebelum dia liwat saya,” katanya.
Presiden Pertubuhan Kebangkitan Tiga Tangan Selangor (PKTTS), S Maran, yang mendedahkan kes tersebut berkata, selain pengasas, terdapat dua lagi pembantunya yang juga terlibat dengan kes amang seksual melibatkan ramai mangsa.
Kejadian ini terbongkar apabila bapa kepada salah seorang bekas penghuni rumah kebajikan tersebut berusia 18 tahun datang berjumpa dengan dia memaklumkan kelainan kelakuan pada anaknya.
“Bapa mangsa memberitahu yang anaknya sejak pulang dari asrama sering mendiamkan diri dan tidak bergaul. Apabila ditanya lebih lanjut, mangsa mendedahkan perkara sebenar terjadi padanya sepanjang dia menghuni rumah tersebut,” katanya.
Menurutnya laporan polis seterusnya dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak sebelum beliau bersama pasukannya mengunjungi premis itu dengan alasan menghadiri sambutan hari lahir pada malam Ahad lalu.
Katanya, ahli pasukan kemudian berinteraksi dengan penghuni dan beberapa mangsa mula membuka cerita serta mengenal pasti suspek.
Beliau mendakwa situasi menjadi lebih serius apabila bukti berkaitan kejadian itu seperti video ditemui dalam telefon bimbit milik suspek.
Maran turut mendakwa hasil pemeriksaan kesihatan turut mendapati kecederaan kepada semua mangsa yang terlibat telah berlarutan dan berulang dalam tempoh yang lama.
Menurutnya, rumah tersebut menempatkan seramai 36 kanak-kanak terdiri daripada 23 lelaki dan 13 perempuan tanpa pengawasan serta penjagaan yang beretika.
Sehingga kini, sekurang-kurangnya 10 laporan polis dibuat oleh pertubuhan bukan kerajaan, bekas penghuni dan ibu bapa mangsa.
Seramai empat suspek telah ditahan reman lima sehingga hari ini untuk membantu siasatan.
Penolong Pengarah Kanan Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Polis Diraja Malaysia, Siti Kamsiah Hassan, mengesahkan penahanan suspek.
“Suspek telah ditahan dan siasatan masih dijalankan,” katanya.
Dalam pada itu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri hari ini mengesahkan rumah kebajikan kanak-kanak tersebut tidak pernah berdaftar dan beroperasi di luar peruntukan Akta Pusat Jagaan 1993.
Beliau berkata, tindakan penguatkuasaan telah diambil dengan segera sebaik kesalahan berkenaan dikenal pasti, malah semua kanak-kanak yang berada di pusat jagaan terbabit kini telah diambil tindakan sewajarnya demi keselamatan mereka.- KOSMO! ONLINE














