STOCKHOLM – Sweden mencipta kebangkitan luar biasa apabila mengesahkan tiket ke Piala Dunia hasil kemenangan dramatik ke atas Poland dalam aksi playoff, sekali gus melengkapkan misi ‘great escape’ di bawah kendalian Graham Potter.
Jaringan lewat Viktor Gyokeres pada minit akhir memastikan kemenangan 3-2 sekali gus membawa Sweden kembali ke pentas dunia selepas terlepas edisi lalu di Qatar.
Kejayaan itu cukup mengejutkan memandangkan Sweden sebelum ini menamatkan saingan kumpulan kelayakan di tangga tercorot tanpa sebarang kemenangan.
Bagaimanapun, laluan ‘pintu belakang’ menerusi Liga Negara-Negara Eropah membuka peluang kedua yang dimanfaatkan sepenuhnya oleh skuad kendalian Potter.
Pengendali dari England itu nyata mengubah wajah Sweden selepas mengambil alih pasukan, termasuk mengembalikan keharmonian dalam skuad yang sebelum ini bergelut dengan prestasi hambar.
“Kami mempunyai pemain yang sangat baik dan kepimpinan yang kuat. Mereka telah mewujudkan suasana di mana kami boleh menikmati permainan,” kata pemain sayap Sweden, Anthony Elanga.
Menurutnya, perubahan paling ketara adalah semangat berpasukan yang kembali menjadi kekuatan utama Sweden di atas padang.
“Kami bertahan bersama dan menyerang bersama. Itu perkara paling penting,” jelasnya.
Lebih manis, kemenangan ke atas Poland itu turut menebus kekecewaan Sweden yang tersingkir kepada lawan sama pada playoff Piala Dunia 2022, sekali gus menutup episod hitam dan membuka lembaran baharu penuh harapan. – AGENSI














