fbpx
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga Air dan Pengangkutan Awam Negeri Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin mewakili Menteri Besar Perak merasmikan majlis pecah tanah pembangunan Fasiliti Penempatan Berpusat untuk Projek HLEP di Gerik.

Perak perkukuh agenda TBB menerusi projek HLEP

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Perak memperkukuh kedudukan sebagai pemacu masa depan ekonomi hijau negara menerusi pelaksanaan projek Hydro Life Extension Programme (HLEP), yang disokong oleh pembangunan Fasiliti Penempatan Berpusat sebagai komponen strategik di koridor hidroelektrik Sungai Perak.

Dilaksanakan oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) dengan kerjasama Konsortium Voith–HeiTech, projek dengan kapasiti penjanaan mencecah 650.75 megawatt itu bukan sahaja meningkatkan kecekapan operasi stesen janakuasa hidroelektrik, malah memperkukuh peranan Perak sebagai Pusat Strategik Tenaga Bersih.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pelaburan RM5.8 bilion oleh TNB bagi projek HLEP bakal menjadi pemangkin utama pertumbuhan ekonomi di Hulu Perak.

“Impak pembangunan ini dijangka merancakkan bandar berhampiran seperti Gerik dan daerah Hulu Perak, sekali gus mengangkat kawasan tersebut sebagai pusat sokongan ekonomi baharu yang dinamik.

“Kerajaan negeri komited memastikan setiap fasa projek ini diterjemahkan kepada manfaat menyeluruh bagi rakyat.

“Justeru, pemerkasaan kontraktor tempatan dan pembangunan vendor akan menjadi teras utama dalam strategi kita untuk memperkukuh ekosistem industri negeri secara mampan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Ketua Eksekutif PKNPk, Datuk Redza Rafiq berkata, pembangunan Fasiliti Penempatan Berpusat merupakan komponen kritikal dalam memastikan kecekapan operasi projek berskala besar seperti HLEP.

Kemudahan penempatan ini mampu menempatkan kira-kira 200 pekerja yang bukan sahaja meningkatkan produktiviti, malah menstabilkan bekalan tenaga kerja, mengurangkan tekanan terhadap infrastruktur awam serta memelihara kesejahteraan komuniti setempat.

“Dalam projek sebesar ini, kekuatan sebenar terletak bukan sahaja pada teknologi, tetapi kepada manusia yang menggerakkannya.

“Fasiliti penempatan ini menyediakan persekitaran yang kondusif, selamat dan terancang bagi memastikan tenaga kerja dapat beroperasi pada tahap optimum,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN