PETALING JAYA – Kumpulan pertama Sumud Nusantara telah berangkat dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini untuk misi Global Sumud Flotilla 2.0 (GSF 2.0).
Menerusi hantaran terbaharu pendakwah bebas, Rahmat Ikhsan di Instagram, identiti peserta terbabit masih dirahsiakan demi menjaga maslahah yang lebih besar.
Beliau turut mendoakan agar para peserta selamat dalam perjuangan mereka.
“Selamat berjuang sahabat ku. Semoga keberkatan Allah bersama kalian. Allahuma amin.. Allahuakbar!!,” tulisnya.
Sebelum ini, Sumud Nusantara dilaporkan berkata, tujuh orang kapten, kelasi dan juruteknik bot antara individu yang akan dihantar ke beberapa pelabuhan di Eropah bagi membantu persiapan kapal-kapal GSF dalam masa terdekat.
“Salah seorang daripada mereka adalah warganegara Malaysia berbangsa India, peserta bukan Islam pertama yang akan
menyertai pelayaran kali ini,” katanya.
Terdahulu, Pegawai Strategik Sumud Nusantara, Haikal Luqman Zulkefli berkata, kira-kira 3,000 sukarelawan dari seluruh dunia menyertai misi kemanusiaan GSF 2.0 bagi menghantar bantuan ke Palestin yang dijadual bermula pada 12 April ini.
Katanya, hampir 150 kapal akan belayar secara serentak dalam misi berkenaan yang bermula dari Itali sebelum singgah ke beberapa negara.- KOSMO! ONLINE














