PONTIAN – Taktik seorang lelaki memberi alasan kononnya hanya menghantar seorang wanita menginap di sebuah homestay terbongkar apabila dia dicekup berkhalwat dalam operasi awal pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2 pagi itu, lelaki yang berstatus suami orang berkenaan ditahan bersama seorang wanita berstatus janda selepas disyaki berdua-duaan dalam keadaan mencurigakan di premis terbabit.
Kehadiran pasangan itu di homestay berkenaan pada awalnya cuba diselindungkan dengan alasan lelaki tersebut sekadar membantu menghantar wanita berkenaan untuk menginap.
Namun, alasan itu menimbulkan keraguan selepas pihak berkuasa menerima aduan orang awam berhubung pergerakan mencurigakan di lokasi tersebut.
Jurucakap penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor berkata, sepasukan anggota telah digerakkan ke lokasi bagi menjalankan pemeriksaan lanjut.
Menurutnya, sebaik tiba di premis, pihaknya mengetuk pintu hadapan, namun tidak menerima sebarang respons daripada penghuni di dalam.
“Pasukan penguat kuasa terpaksa menunggu hampir satu jam sebelum mengambil tindakan memotong mangga jeriji pintu untuk masuk ke dalam premis.
“Hasil siasatan mendapati wanita berusia lingkungan 30-an bekerja dan menetap di daerah ini bukan mahram kepada lelaki terbabit yang juga merupakan individu sudah beristeri,” jelasnya menerusi kenyataan, hari ini.
Menurut beliau, lelaki terbabit turut dipercayai mempunyai kaitan dengan pemilikan homestay berkenaan, sekali gus menimbulkan persoalan terhadap alasan awal yang diberikan. – KOSMO! ONLINE














