PETALING JAYA – Bekalan beras negara dijamin mencukupi sekurang-kurangnya sehingga hujung tahun ini, namun orang ramai diingatkan agar tidak melakukan pembelian panik atau menyimpan stok secara berlebihan.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, tindakan membeli secara berlebihan boleh menjejaskan kestabilan pasaran dan mempercepatkan kehabisan bekalan sedia ada.
“Jika kebiasaan isi rumah membeli satu beg beras 10 kilogram sebulan, orang ramai tidak seharusnya membeli sehingga empat beg dalam satu masa.
“Kalau semua orang bertindak begitu, jangka hayat stok akan cepat habis dan pasaran boleh menjadi tidak stabil,” katanya ketika menjawab soalan dalam rancangan Bicara Naratif di saluran RTM semalam.
Beliau menjelaskan, gangguan pasaran tidak boleh dipandang ringan kerana ia boleh menyebabkan bekalan yang mencukupi menjadi berkurangan dalam tempoh singkat.
“Stok yang boleh bertahan enam bulan mungkin hanya mampu bertahan dua bulan jika berlaku pembelian panik. Apabila bekalan berkurang, harga pula akan meningkat dan golongan berpendapatan rendah paling terkesan,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya bertenang dan mengamalkan perbelanjaan secara berhemah bagi memastikan bekalan beras dapat bertahan lebih lama.
Dalam pada itu, Mohamad turut menjelaskan bahawa negara mempunyai stok penimbal beras yang diurus secara sistematik bagi memastikan bekalan berterusan.
“Setiap kali stok dikeluarkan, ia akan diganti semula dengan stok baharu. Jika kita keluarkan 1,000 tan metrik, kita akan tambah semula jumlah yang sama dalam masa terdekat,” jelasnya.
Katanya, mekanisme tersebut memastikan bekalan sentiasa mencukupi dan terkawal.
“Jadi tidak perlu risau. Yang penting, beli seperti biasa dan elakkan pembelian berlebihan,” katanya.- KOSMO! ONLINE














