PUTRAJAYA – Malaysia perlu bersedia berdepan kemungkinan peningkatan kos bahan api untuk penjanaan elektrik susulan konflik geopolitik di Asia Barat yang masih berterusan, ketika ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Tenaga (ST), Siti Safinah Salleh berkata, bagaimanapun, kesan terhadap peningkatan kos itu masih terkawal berikutan sebahagian besar bekalan gas asli adalah daripada sumber domestik.
Menurutnya, kira-kira 80 peratus gas asli bagi penjanaan elektrik di negara ini merupakan daripada sumber domestik, sekali gus mengurangkan pendedahan langsung terhadap turun naik harga global.
“Kita di Malaysia untuk penjanaan elektrik daripada segi penggunaan gas asli, majoriti adalah daripada sumber domestik. Oleh demikian, kenaikan itu tidak terlalu ketara.
“Namun, ada juga kurang daripada 20 peratus yang masih lagi akan terdedah kepada risiko kenaikan kos kerana kita ada import gas asli tersebut daripada negara lain, bukan daripada Timur Tengah atau Asia Barat, tetapi kebanyakannya daripada Australia.
“Harga bahan api tersebut berkait juga dengan harga bahan api pasaran, jadi apabila harga bahan api di pasaran seperti Brent meningkat, kita juga akan merasa kesan tersebut,” katanya kepada pemberita selepas membentangkan Semakan Kawal Selia Tahunan Suruhanjaya Tenaga 2026 di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Siti Safinah menjelaskan bahawa kenaikan kos tenaga dipengaruhi tiga faktor utama iaitu harga bahan api di pasaran, kos penghantaran melalui perkapalan serta kos insurans.
Justeru, katanya, antara langkah yang boleh diambil untuk masyarakat lebih berjimat cermat adalah termasuk membeli barangan elektrik yang lebih cekap tenaga serta menilai semula penggunaan tenaga di rumah. – KOSMO! ONLINE














