BENTONG – Polis mencari enam sekeluarga yang dilaporkan hilang dari rumah mereka sejak kelmarin.
Mangsa yang hilang ialah M. Rekha, 41, serta lima anaknya iaitu S. Ruban, 19, S. Sharivina Nair, 17, S. Shasini Nair, 16, S. Pritivi Nair, 14, dan S. Lashwin Nair, 4.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd. Kahar berkata, pihaknya menerima aduan mengenai kehilangan mereka yang dibuat suami dan bapa mangsa yang berusia 43 tahun kelmarin.
“Mengikut laporan pengadu, kesemua mangsa disedari tiada di rumah pada pukul 6.30 pagi kelmarin. Lokasi terakhir mangsa di sebuah rumah di Taman Orkid di sini,” katanya hari ini.
Beliau meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai keluarga itu supaya menyalurkan dengan menghubungi Ibu Pejabat polis Daerah Bentong atau mana-mana balai polis berhampiran. – KOSMO! ONLINE














