KUALA LUMPUR – Seorang petugas Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) cedera selepas ditoreh dengan senjata pisau ketika menjalankan operasi di Bangsar, hari ini.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Hoo Chang Hook berkata, pihaknya menerima laporan kejadian pada pukul 5.08 petang.
“Seorang rakan sekerjanya telah mengalami kecederaan luka di tapak tangan kanan dan ibu jari kanan akibat ditoreh dengan senjata pisau oleh seorang individu yang ditahan semasa operasi saringan air kencing,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, mangsa yang berusia 48 tahun itu kini ditempatkan di wad biasa Pusat Perubatan Universiti Malaya dan berada dalam keadaan stabil.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan usaha mengesan serta menangkap suspek sedang giat dijalankan. – KOSMO! ONLINE














