KOTA TINGGI – Perjalanan seorang wanita berakhir dengan tragedi apabila dia ditemukan tidak bernyawa dalam keretanya yang dipercayai terbabas di Kilometer 2, Jalan Lok Heng–Mawai, di sini pagi tadi.
Mangsa dikenali sebagai Anna Hanieza Bahari, 36, yang bekerja sebagai penghantar barang dijumpai orang awam dalam keadaan tidak sedarkan diri dalam kereta jenis Perodua Axia.
Difahamkan, kejadian itu disedari orang awam yang melalui jalan tersebut sebelum ternampak sebuah kereta berada di kawasan kebun sawit di tepi jalan dalam keadaan mencurigakan.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman berkata, pihaknya menerima maklumat pada pukul 7.45 pagi dan siasatan awal mendapati kereta itu dipercayai terbabas.
“Pemandu kereta mengalami kecederaan dalaman dan disahkan meninggal dunia di lokasi. Mayatnya dihantar ke Unit Forensik, Hospital Kota Tinggi untuk dibedah siasat,” katanya dalam kenyataan hari ini. – KOSMO! ONLINE














